Enter your email address:

Info Terkini Influenza A(H1N1) Di Malaysia

2008 tinggalkan 1,001 cabaran ekonomi

Labels:

Krisis kewangan global yang melanda sekarang telah memberikan kesan yang paling buruk dalam sejarah dunia sejak peristiwa Great Depression (Kemelesetan Terburuk), dari Amerika Syarikat hingga ke New Zealand turut terjejas dengan situasi itu.

Malaysia juga tidak terkecuali, walaupun sebelumnya ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang membuat rumusan bahawa dasaran masih kukuh mengubahkannya dengan mengatakan negara turut merasai tekanan daripada krisis kewangan semasa.

Pada tahun depan, ekonomi negara dijangka bergantung kepada dua faktor utama iaitu domestik dan luaran yang dijangka berada pada fasa paling mencabar dan ini disokong oleh pendapat Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Management Bhd., Alsetdek Al Haj Ali.

Dengan proses peralihan kuasa yang bakal tiba pada Mac depan, adalah diramalkan pemulihan ekonomi negara akan perlahan dengan pertumbuhan berada pada paras rendah sekitar tiga peratus, keberkesanan pentadbiran baru hanya boleh dilihat dalam satu jangka masa sebelum dapat menarik semula pelabur asing.

Faktor luaran pula dilihat dari segi kedudukan perdagangan luar, dengan harga minyak sawit mentah (MSM) semakin merudum akan menjejaskan hasil negara sehingga boleh mencecah berbilion ringgit dan ini berkemungkinan akan menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik dengan mengumumkan pelan bantuan bagi menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai pelaburan dalam perladangan.

Pengukuhan mata wang Amerika Syarikat (AS) akan memberi kesan langsung kepada eksport negara dengan menjadikan produk kita lebih mahal di pasaran AS dan Eropah.

Pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) yang menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas baru-baru ini kepada 3.25 peratus dan bakal menurunkan lagi kadar itu pada Januari depan sebanyak 25 mata asas lagi diharap dapat membantu meningkatkan aktiviti pinjaman oleh pihak bank dan seterusnya membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Langkah BNM menurunkan OPR yang kekal pada kadar 3.50 peratus sejak April 2006, atau 30 bulan, dapat mengurangkan bebanan syarikat perniagaan yang menggunakan pinjaman sebagai modal dan ini membantu menggalakkan aktiviti ekonomi.

Selain itu, hasil negara banyak bergantung kepada dividen, royalti dan cukai yang dibayar Petronas akan terjejas ekoran harga minyak mentah tidak stabil. Walaupun pengguna menginginkan harga petrol yang murah tetapi hakikatnya negara tidak dapat menerima harga minyak yang terlalu rendah dan sekiranya harga minyak mentah dunia berada dalam trend menurun sehingga di bawah paras AS$50 (RM181) setong, ia akan memberi kesan kepada pendapatan Petronas.

Dalam menentukan pasaran harga minyak mentah dunia, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), penyumbang sebanyak 40 peratus pengeluaran minyak mentah dunia, perlu sepakat dalam menentukan jumlah pengeluaran minyak dan tidak hanya mementingkan keuntungan semata supaya krisis minyak tidak akan memburukkan ekonomi dunia.

Ekonomi dunia dilihat terlalu rapuh pada 2009, ekoran pakej bantuan AS mungkin mencecah trilion dolar dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk pulih, penganalisis menjangkakan proses pemulihan krisis kewangan akan bermula dengan negara-negara Asia yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Mungkin sudah tiba masanya negara-negara Asia seperti China, India dan Jepun memainkan peranan mereka dalam usaha memulihkan semula keadaan ekonomi global.

Dunia turut menginginkan sesuatu yang positif berlaku di bawah pentadbiran baru AS yang di terajui Barrack Obama yang sebelum ini menunjukkan usaha untuk memulihkan keadaan ekonomi negara tersebut dengan pelbagai langkah termasuk meningkatkan perbelanjaan domestik dengan membaiki infrastruktur dalaman negara itu.

Walaupun ekonomi dunia berhadapan ranjau pada waktu ini, perkara positif yang dapat diambil daripada tragedi ini adalah dengan kejatuhan pasaran ekuiti yang membolehkan para pelabur mengambil kesempatan untuk melabur di kaunter-kaunter saham yang berpotensi melonjak pada harga murah bagi pelaburan jangka panjang.

Pengurus-pengurus dana percaya apabila keadaan ekonomi kembali pulih, para pelabur yang memiliki saham pada masa ini akan mendapat pulangan berlipat kali ganda dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Tahun 2008 akan terus dikenang sebagai tahun yang paling mencabar kepada situasi ekonomi dunia kerana pada tahun ini beberapa sejarah tercipta, tidak kira bagi Malaysia mahupun dunia.

Bagi Malaysia, tahun ini telah menyaksikan penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) berada pada paras tertinggi melebihi 1,500 mata, ringgit turut mengukuh pada paras RM3.15 berbanding dolar AS, kadar tertinggi sejak 10 tahun lalu, peningkatan harga runcit petrol sehingga paras tertinggi RM2.70 seliter dan pelbagai lagi sejarah yang tercipta.

Manakala dunia buat pertama kalinya menyaksikan kenaikan harga minyak mentah sehingga paras tertinggi sehingga AS$147 (RM532.14), pasaran saham AS merudum sehingga di bawah paras psikologi 10,000 mata, bank-bank pelaburan yang berusia berpuluh tahun seperti Merill Lynch, Lehman Brothers dan syarikat insurans AIG hampir muflis dan terpaksa dibantu oleh kerajaan AS dan pelbagai lagi situasi yang mengheret dunia ke kancah krisis kewangan.

Apa yang boleh dilakukan kita sekarang adalah belajar dari segala kesilapan yang berlaku dan memastikan ia tidak akan berulang lagi selain segera menyediakan pelan bertindak supaya tempohnya tidak berlarutan dan meranapkan ekonomi.

Sumber MyAdHa

0 comments:

Post a Comment

You Follower I Follower